
Sekolah Kebangsaan Jalan Residensi telah menganjurkan Sukan Rakyat 2024 pada 11 Oktober 2024 lalu, bertempat di padang sekolah pada 7.40 hingga 10.00 pagi. Acara ini bertujuan menggalakkan penyertaan aktif dalam aktiviti fizikal dan memupuk semangat kesukanan melalui permainan tradisional. Dengan kapasiti 361 peserta, termasuk 316 kanak-kanak, 30 wanita dan seorang Orang Kurang Upaya (OKU), program ini direka mengikut kesesuaian murid Tahap 1 dan Tahap 2. Pada hari tersebut, pelbagai aktiviti menarik yang dapat memupuk semangat kesukanan yang tinggi telah dijalankan. Murid Tahap 1 bersaing secara sihat dalam aktiviti permainan seperti Galah Panjang, Skiping/Zero Point, dan Lari Dalam Guni. Manakala murid Tahap 2 pula menguji kemahiran mereka dalam acara Boling Nyoq, Tuju Tin, dan Tarik Upih. Atur cara bermula dengan perhimpunan di dewan pada jam 7.40 pagi, diikuti oleh nyanyian lagu Negaraku dan Negeri Pulau Pinang serta senamrobik. Permainan tradisional dimulakan pada 8.20 pagi di stesen permainan masing-masing, dan waktu rehat diatur mengikut Tahap 1 dan 2. Selepas rehat, sesi pembelajaran diteruskan seperti biasa. Acara Sukan Rakyat ini melalui Hari Sukan Negara memberi peluang kepada setiap murid untuk mengenali warisan budaya melalui sukan, di samping menggalakkan kecergasan fizikal dan kerjasama antara rakan-rakan.