
Program Senamrobik dan Larian Santai ILP Kuala Lumpur Pada tarikh 11 Oktober 2024, Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur telah mengadakan Program Senamrobik dan Larian Santai bersempena dengan pelancaran Hari Sukan Negara (HSN) peringkat ILP Kuala Lumpur. Program tersebut telah disertai seramai lebih 550 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar di Institut. Program tersebut telah dimulai dengan aktiviti senamrobik yang dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Seputeh dan Kelab Senamrobik Retro (KSR). Penganjuran program seumpama ini di Institut mampu dijadikan sebagai pemangkin kepada komunikasi serta sebagai medium pertukaran idea dan pendapat di kalangan para pelajar dan pegawai di samping dapat mengeratkan hubungan. Selain itu, bidang sukan juga merupakan antara platform terbaik untuk melahirkan pelajar yang cergas dari segi mental dan fizikal. Menerusi latihan yang konsisten dan seimbang dari pelbagai aspek, aktiviti sukan juga mampu membentuk seorang pelajar yang cergas, patuh dengan peraturan dan secara tidak langsung membentuk seorang pelajar berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai jati diri yang kental serta mempunyai daya kepimpinan yang baik.