
Rakyat Malaysia pada masa ini kurang mengamalkan gaya hidup sihat terutamanya dalam melakukan aktiviti yang melibatkan kecergasan fizikal. Oleh itu, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Hari Sukan Negara yang disambut secara serentak oleh semua lapisan masyarakat di negara ini. Hari Sukan Negara (HSN) merupakan agenda nasional yang disambut secara tahunan pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober sejak tahun 2015 dengan hasrat membudayakan dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas dan aktif. Sambutan HSN 2025 juga mengetengahkan konsep “Malaysia MADANI – Sukan Baharu & Sukan Rakyat” yang memberi tumpuan kepada melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk warga emas, veteran, orang kurang upaya (OKU), wanita, belia dan kanak-kanak dalam aktiviti sukan dan kecergasan. Penganjuran ini memfokuskan kepada penyertaan pelajar sekolah menengah iaitu golongan belia supaya melibatkan diri secara aktif dalam sukan. Diharapkan program ini dapat memberikan kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan bersukan dan bersenam bagi menjadikan badan lebih sihat dan cergas.