
Sambutan Hari Sukan Negara yang akan diadakan pada setiap minggu ke 2 bulan Oktober setiap tahun adalah bertujuan untuk menjadikan sukan sebagai budaya hidup. Menurut Menteri Belia dan Sukan pelbagai aktiviti sukan dan riadah diadakan bagi membina asas ke arah negara bersukan sebagai gaya hidup sihat.
Aktiviti ini dilaksanakan selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin mewujudkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial melalui penyertaan dalam bidang sukan. Seseorang murid itu wajib mengikuti aktiviti dalam sukan untuk mengimbangi tahap sosial mereka dalam melangkah ke alam kehidupan yang lebih mencabar. Pengalaman yang ditimba melalui aktiviti riadah ini bakal diaplikasikan oleh mereka apabila menempuhi kehidupan seharian.
Acara dimulakan dengan pendaftaran murid pada jam 7:30 pagi di Dewan Dato' Seri Hamzah bin Zainudin. Lebih 300 orang murid bersama-sama guru turut serta dalam larian ini. Selesai sahaja sesi pendaftaran, para murid dikumpulkan di ruang tengah dewan untuk sesi pemanasan badan iaitu senamrobik yang dikendalikan oleh guru Pendidikan Jasmani bersama dengan murid-murid PPKI. Seusai aktiviti tersebut, murid-murid dan warga SEBAYU bergerak ke tempat permulaan. Tepat jam 8:00 pagi, tuan pengetua melepaskan semua peserta Fun Run sejauh 3KM yang melibatkan laluan sekitar kawasan Banggol Jas.
Sepanjang acara berlangsung, tiada kecederaan yang dialami oleh para peserta. Pasukan pertolongan cemas yang dikendalikan oleh PBSM disediakan bagi memastikan keselamatan dan bantuan awal sekiranya berlaku perkara tidak diingini kepada peserta sepanjang larian berlangsung. Pihak PDRM juga membantu menjaga laluan yang melibatkan jalan raya.
Acara berakhir pada jam 10:30 pagi dengan penyampaian hadiah berupa medal kepada para pemenang. Semua peserta menerima sijil penyertaan sebagai penghargaan atas semangat dan usaha mereka dalam menjayakan Fun Run ini.
Secara keseluruhan, acara Fun Run sempena Hari Sukan Negara 2024 di SMK Sungai Bayor telah berjaya mencapai objektifnya. Aktiviti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat tetapi juga memperkukuh semangat perpaduan dan kesukanan dalam kalangan warga sekolah. Diharapkan acara seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang supaya dapat memupuk kesedaran tentang betapa pentingnya aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian.