
PENGENALAN / LATAR BELAKANG PROGRAM Hari Sukan Negara ialah inisiatif tahunan Kementerian Belia dan Sukan yang diraikan setiap Oktober bagi memupuk budaya bersukan dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia. Sambutan yang berlangsung serentak di seluruh negara ini melibatkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan latar belakang, sekali gus menjadi platform untuk menyatukan masyarakat melalui aktiviti fizikal. Penganjuran pada peringkat tempatan seperti sekolah, institusi dan komuniti pula membantu menyemarakkan semangat kesukanan, menarik minat orang ramai untuk bergiat aktif serta memperkukuh hubungan sosial ke arah pembentukan masyarakat yang harmoni dan cergas. Program ini juga menanam nilai kerjasama, disiplin, semangat berpasukan dan hormat-menghormati dalam kalangan peserta. Pengisian program yang menekankan konsep 3M iaitu Murah, Menarik dan Mudah memberi peluang kepada warga sekolah melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti seperti senamrobik, sukaneka dan sukan Dodgeball. Hasilnya, sambutan ini bukan sahaja menggalakkan amalan hidup sihat malah membentuk generasi muda yang lebih berdaya saing serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.