
Sempena sambutan Hari Sukan Negara 2025, Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang telah menganjurkan satu program khas di peringkat sekolah bagi memupuk semangat kesukanan dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan murid serta warga sekolah. Program ini dimulakan dengan aktiviti senam robik yang melibatkan semua murid, guru dan kakitangan sekolah bagi memanaskan badan serta meningkatkan kecergasan fizikal. Seterusnya, program diteruskan dengan pertandingan lompat tali yang dijalankan mengikut kelas. Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah dapat meningkatkan ketangkasan, koordinasi dan daya tahan fizikal peserta. Melalui pelaksanaan program ini, diharapkan murid dapat menyemai semangat bersukan, bekerjasama dan mengamalkan gaya hidup aktif selaras dengan objektif Hari Sukan Negara — “Malaysia Cergas, Malaysia Aktif.”