
Program Hari Sukan Negara 2025 telah diadakan pada 13 Oktober 2025 (Isnin) bertempat di padang sekolah dan dewan sekolah. Program ini bertujuan memupuk semangat kesukanan, menggalakkan gaya hidup sihat serta menyemai nilai kerjasama dalam kalangan warga sekolah. Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah senamrobik, yang melibatkan semua guru dan murid sebagai aktiviti pembuka. Aktiviti ini dijalankan dengan penuh semangat dan ceria, diiringi muzik yang rancak untuk menceriakan suasana pagi. Seterusnya, diadakan pertandingan bola keranjang yang melibatkan murid Tahap 2. Pertandingan ini dijalankan secara berpasukan dan berjaya menunjukkan semangat kesukanan serta disiplin dalam kalangan peserta. Selain itu, murid juga mengambil bahagian dalam pelbagai permainan tradisional seperti teng-teng, batu seremban, membaling sapu tangan, tating jawi dan helang mengangkap ayam. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah membantu murid memahami warisan budaya tempatan serta membina kerjasama antara ahli kumpulan. Secara keseluruhannya, program Hari Sukan Negara berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Semua aktiviti telah berjaya mencapai objektif program iaitu menggalakkan penyertaan aktif dalam sukan dan membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan warga sekolah.