Pendidikan yang berkualiti perlu memberi penekanan terhadap perkembangan murid secara menyeluruh, bukan sahaja dari aspek akademik tetapi juga meliputi aspek fizikal, emosi, sosial dan sahsiah. Penglibatan dalam aktiviti fizikal dan sukan dapat membantu murid meningkatkan tahap kecergasan, di samping membentuk nilai-nilai positif seperti disiplin, kerjasama, keyakinan diri dan semangat kesukanan. Usaha ini bertepatan dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan pembangunan individu secara seimbang dan harmonis. Penyertaan dalam aktiviti sukan memberikan peluang kepada murid untuk berinteraksi, bekerjasama serta mengambil bahagian dalam aktiviti secara aktif bersama rakan-rakan tanpa mengira tahap kebolehan dan keupayaan masing-masing. Sehubungan dengan itu, program Hari Sukan Negara SK Jalan Sungai Besi (1) dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif pihak sekolah untuk membudayakan amalan hidup aktif dan sihat dalam kalangan warga sekolah. Program ini memberi ruang kepada murid pra sekolah dan murid tahun 1 hingga tahun 6 untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti fizikal dan sukan yang bersesuaian dengan peringkat umur serta kemampuan mereka. Pelaksanaan program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran murid tentang kepentingan aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian. Selain meningkatkan kecergasan tubuh badan, program ini turut menjadi wadah untuk memupuk semangat kerjasama, disiplin, keyakinan diri dan keseronokan dalam bersukan.