PROGRAM HARI SUKAN NEGARA

PROGRAM HARI SUKAN NEGARA Program Hari Sukan Negara 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 11 Oktober 2025 bertempat di perkarangan SMK Kg. Dato’ Seri Kamaruddin, Seri Manjung, Perak. Program ini merupakan sebahagian daripada Fiesta Kokurikulum 2025 yang dianjurkan oleh unit kokurikulum sekolah dengan kerjasama semua panitia kelab, persatuan, badan beruniform serta warga sekolah. Tujuan utama penganjuran Hari Sukan Negara ini adalah untuk menggalakkan penyertaan aktif dalam aktiviti fizikal, menyemai semangat kesukanan serta memupuk budaya gaya hidup sihat dalam kalangan murid, guru dan komuniti setempat. Majlis dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku dan Negeri Perak diikuti dengan bacaan doa. Seterusnya, ucapan alu-aluan oleh Pengetua, En. Mohd Marzuki bin Abdul Ghani, disusuli dengan ucapan perasmian oleh Penolong Kanan Kokurikulum, En. Balachandran a/l Mathavan. Program diteruskan dengan aktiviti senamrobik dan regangan badan yang dikendalikan oleh guru-guru Pendidikan Jasmani bagi memberi semangat dan tenaga kepada semua peserta sebelum memulakan aktiviti seterusnya. Selepas sesi senamrobik, pelbagai aktiviti sukan dan pertandingan mini dijalankan di sekitar kawasan sekolah. Antara aktiviti menarik yang diadakan termasuk pertandingan sepak penalti mini gol, boling kelapa, batu seremban, congkak, dam haji serta cup stacking untuk murid Pendidikan Khas. Selain itu, terdapat juga acara santai seperti karaoke murid dan ibu bapa serta gerai jualan yang dikendalikan oleh kelab dan persatuan bagi memberi pendedahan kepada murid dalam bidang keusahawanan. Pelbagai lapisan warga sekolah mengambil bahagian, termasuk guru, pelajar dan ibu bapa yang hadir memberikan sokongan padu kepada anak-anak mereka. Sepanjang program, suasana sekolah sangat meriah dan penuh semangat kekitaan. Murid menunjukkan daya saing yang tinggi dalam pertandingan yang diadakan, namun masih mengekalkan semangat kesukanan dan saling menghormati. Guru-guru pula memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran setiap aktiviti yang dijalankan. Program ini turut menjadi wadah untuk memperkukuh hubungan antara warga sekolah dengan komuniti setempat melalui penglibatan aktif ibu bapa dalam beberapa aktiviti yang dirancang. Dari segi pelaksanaan, program ini berjalan dengan lancar walaupun terdapat sedikit kekangan masa kerana pelbagai acara dijalankan serentak. Namun begitu, kerjasama yang erat antara ahli jawatankuasa pelaksana serta komitmen tinggi daripada semua pihak telah memastikan setiap aktiviti dapat diselesaikan dengan baik. Beberapa aspek boleh ditambah baik pada masa akan datang seperti penambahan fasiliti sukan, penyediaan alatan yang lebih mencukupi, dan penjadualan aktiviti secara berperingkat bagi mengelakkan pertindihan masa. Secara keseluruhannya, Program Hari Sukan Negara 2025 di SMK Kg. Dato’ Seri Kamaruddin telah mencapai objektifnya dengan cemerlang. Ia bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran tentang kepentingan gaya hidup sihat dan aktiviti fizikal, malah turut menyemai semangat perpaduan, kesukanan serta kepimpinan dalam kalangan murid. Program sebegini wajar diteruskan setiap tahun sebagai platform untuk melahirkan generasi yang sihat, berdisiplin dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi pendidikan negara.

Event Information

Event Date 11-10-2025 7:30 am
Event End Date 11-10-2025 1:00 pm
Cut Off Date 11-10-2025
Capacity 750
Registered 0
Available Place 750
Senior Citizens 12
Veterans 64
Youth 630
Persons with Disabilities (OKU) 31
Women 56
Children 12
Location SMK KG. DATO' SERI KAMARUDDIN

We are no longer accepting registration for this event